Tempatan

Nasib Frank dapat perhatian Naib Canselor UPSI dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUCHING: Ketekunan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Augustine, Betong yang terpaksa keluar seawal jam 6:00 pagi untuk mendaki kawasan Bukit Kelingkang demi mendapatkan talian internet bagi menduduki interviu dalam talian dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendapat perhatian Naib Canselor UPSI dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Annuar Musa.

Menerusi hantaran di Facebook, Naib Canselor UPSI Prof. Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff mendoakan Frank Steward berjaya menuntut ilmu di UPSI nanti.

“Insyallah dik Frank Steward, usaha dan pengorbananmu untuk menuntut ilmu di universiti nan bersejarah ini tak akan kami siakan.

“Semoga tercapai hajat yang dihasratkan, insyallah,” katanya.

Pada Rabu, sebuah portal Majoriti melaporkan Frank perlu keluar dari rumah seawal pukul 6 pagi untuk mendaki bukit bagi mengikuti sesi interviu Pendidikan Moral serta subjek Bimbingan dan Kaunseling masing-masing pada 7 dan 14 Februari lalu.

Ketika dihubungi Frank menceritakan bahawa capaian internet di rumahnya tidak cukup kuat dan laju bagi tujuan membuat panggilan video dalam tempoh lama.

Justeru itu, kata Frank, bapanya, Sa anak Ujom, 52, sanggup mendirikan khemah di kawasan hutan Bukit Kelingkang bagi membolehkan dia menjalani interviu dalam talian untuk kemasukan ke UPSI.

Ketekunan Frank turut juga mendapat perhatian daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Menerusi satu ciapan di Twitter rasmi beliau pada Khamis, Annuar berkata, dia berasa kagum dengan ketabahan pelajar tersebut, Frank Steward anak Sa, 21 tahun yang sanggup meredah jalan balak dengan tempoh perjalanan memakan masa dua jam untuk mengikuti sesi interviu tersebut.

“Saya amat bersimpati dengan apa yang beliau harus lalui, namun kagum dengan ketabahan beliau,” ciap beliau.

Annuar berkata, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk berhubung dengan Sarawak Rural Broadband Network (SRBN) supaya masalah itu dapat ditangani.

Cerita Frank itu bukanlah baharu kerana diketahui masih banyak kawasan di Sarawak yang masih belum mempunyai liputan telekomunikasi yang baik termasuk internet.

Kerajaan Persekutuan khususnya yang bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan ini perlu segera menyiapkan perkhidmatan internet SRBN di Sarawak seperti yang dijanjikan dalam Bajet 2022. -SN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *