Tempatan

Pelajar Indonesia, Kemboja teruja, seronok sertai program ‘Come Discover Bumi Kenyalang’ 2023

KUCHING: Seramai lebih 30 pelajar universiti dari Indonesia dan Kemboja teruja menyertai program ‘Come Discover Bumi Kenyalang’ 2023 yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak.

Antara universiti yang menyertai program itu adalah Universitas Tanjung Pura Indonesia, Universitas Pancha Bakti, Institut Agama Islam Negeri Pontianak Indonesia dan Universiti Pengurusan Kebangsaan Kemboja.

Pelajar jurusan perakaunan Universitas Pancha Bakti Indonesia Nafila Rusliana Putri berkata, dia dan rakan yang lain mendapat banyak pengetahuan mengenai budaya di Sarawak dan program berkenaan juga menambah pengalaman mereka.

“Program ini sangat menarik dan terbaik. Saya banyak mengenal tentang budaya-budaya Sarawak dan ia menambah pengalaman kami juga. Jadi, waktu lima hari itu sangat singkat. Kalau boleh nak dipanjang lagi dan kalau boleh tahun hadapan diadakan lagi supaya kita boleh bertukar budaya, bertukar pengalaman, bertukar cerita dan menambah kawan,” katanya ketika ditemui selepas Majis Makan Malam sempena penutupan program ‘Come Discover Bumi Kenyalang’ 2023 di sini pada Khamis.

Nafila juga berkata, keunikan yang ditampilkan di Kampung Budaya Sarawak juga menarik perhatiannya yang dilihat masih kuat menampilkan budaya sesuatu kaum.

Sementara pelajar jurusan perakaunan dari Institut Agama Islam Negeri Pontianak Indonesia Muhammad Riziq berkata, selain mendapat pengalaman baru daripada program itu, dia juga teruja dapat dapat bersosialisasi bersama dengan pelajar lain dari Sarawak, Malaysia serta pelajar Kemboja.

“Kami berasa amat selesa daripada program bermula hingga tamatnya program ini kerana dari segi makanan, tempat tidur dan lain-lain lagi semuanya dilayan dengna baik selama kami nerada di Malaysia.Kami sangat berterima kasih kepada penganjur dan mereka yang terlibat dalam program ini dan mudah-mudahan program ini tidak hanya dianjurkan pada tahun ini sahaja. Kami harap ia akan diadakan lagi pada tahun yang akan datang,”katanya.

Rizqi juga berkata, menerusi program berkenaan, peluang menambah kawan dari negara yang berbeza menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

“Apa yang saya tidak dapat lupakan sepanjang program ini ialah bertemu dengan orang hebat serta dapat mengikuti aktiviti dalam program seperti bermain kayak, bermain skuter beam atau ke makmal.Kami dapat bersosialisasi dan mendapat ilmu yang baharu bukan hanya belajar di dalam kampus tetapi juga di luar kampus dan dapat bersosialisasi dengan bukan hanya mereka dari Indonesia tetapi juga dari Malaysia dan Kemboja. Ini adalah sangat mebanggakan dan menakjubkan. Program ini sangat berkesan bagi kami semua,” ujarnya.

Manakala bagi pelajar jurusan perniagaan antarabangsa dari Universiti Pengurusan Kebangsaan Kemboja Ying Longma, layanan serta budaya did Sarawak menarik perhatiannya sepanjang berada di sini.

“Saya sangat teruja untuk bertemu orang baru terutamanya orang dari negara yang berbeza seperti Malaysia dan juga Indonesia. Saya juga suka cara mereka melayan kami, apa yang mereka lakukan dengan gaya hidup mereka, cara mereka berkomunikasi dengan orang ramai, cara mereka mengalu-alukan orang dan cara mereka menjaga kami.Saya rasa budaya di Sarawak benar-benar indah dan juga dengan keharmonian merka itu. Ia sebenarnya menarik perhatian kami untuk menyukainya serta memberi inspirasi kepada saya untuk mempelajari lebih banyak lagi.Jika saya akan diberi peluang lagi, saya ingin pergi ke Tebingan Sungai Kuching lagi kerana saya suka bagaimana rupa dan reka bentuknya dan juga bagaimana ia mempunyai latar belakang sungai serta kampung yang cantik.Saya pasti akan membawa keluarga atau rakan-rakan saya di Kemboja untuk kembali lagi ke Sarawak ini,” ujar Longma.

Program ‘Come Discover Bumi Kenyalang’ telah berlangsung selama dua minggu bermula 15 hingga 26 Mei yang diadakan secara hibrid iaitu secara atas talian dan secara fizikal.

Program mobiliti antarabangsa ini bertujuan untuk menyediakan pelajar dengan pengalaman pembelajaran yang komprehensif di samping mendedahkan mereka kepada budaya dan persekitaran baharu.

Objektif utama program ini adalah untuk menyediakan platform untuk pelajar mengembangkan kemahiran mereka dalam suasana berbilang budaya, mempelajari cara kerja baharu, dan mendapatkan pandangan tentang amalan pendidikan global.

Melalui beberapa siri bengkel, seminar dan lawatan lapangan, pelajar akan berpeluang meneroka budaya tempatan, melibatkan diri dalam acara rangkaian dan belajar daripada penduduk tempatan.

Program ini disokong dan dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak.-SN

 

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *