KUCHING: Pembentukan kerajaan Perpaduan yang dianggotai Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti kecil lain tidak menjejaskan perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperjuangan slogan ‘Sarawak First’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata, ini telah termaktub dalam Perkara 5b Memorandum Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh semua parti dalam membantuk Kerajaan Perpaduan.
“Majlis ini berperanan untuk memastikan segala terma-terma yang dipersetujui dalam perjanjian persefahaman kerjasama ini dapat dilaksanakan dengan cermat dan teratur agar Kerajaan Perpaduan Malaysia dapat beroperasi dengan stabil dan berkesan tanpa menjejaskan dasar, polisi dan orientasi parti-parti yang bersetuju untuk membentuk kerjasama ini.
“Manakala, di peringkat negeri dan wilayah ketika itu masih status quo. Bergantung kepada keperluan semasa dan parti, maka beberapa negeri mula mengamalkan sistem yang sama iaitu kerajaan perpaduan. Tapi kita di Sarawak masih lagi berfungsi dengan baik,” katanya ketika membahaskan usul Penghargaan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Rabu.
Fazzrudin yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, turut menjelaskan di peringkat Sarawak, GPS melaksanakan polisi-polisi dan inisiatif berlandaskan kesejahteraan rakyat, pembangkang kita memainkan peranan check and balance dengan baik, walaupun ada juga yang sedikit nakal.
“Saya merasakan sistem yang sedia ada di Sarawak amat efektif dan ianya menyumbang kepada kestabilan negara.
“Rakan kita dari pihak pembangkang juga pernah membuat kenyataan bahawa mereka masih menjadi pembangkang di peringkat Sarawak.
“Jadi saya menjangkakan dengan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan, kita mengharapkan pihak pembangkang memainkan peranan mereka sebagai pembangkang dengan lebih berhemah dan berkualiti demi Sarawak,” jelasnya.
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news