PUTRAJAYA: Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mengingatkan setiap warga asing yang memasuki negara ini perlu menghormati dan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa.
Presidennya, Khairil Niza Khairuddin, berkata mana-mana negara di dunia mempunyai peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi sama ada oleh pelancong atau pengembara luar.
“Dalam isu viral suami isteri warga Singapura mempersoalkan cara seorang pegawai Imigresen Malaysia mengecop pasport mereka, perkara ini sedang dalam siasatan jabatan, jadi saya rasa biarlah siasatan lanjut dilakukan dulu hingga selesai, pastinya ada sebab tindakan itu diambil.
“Namun, secara umum jika kita hendak pergi luar negara, ada undang-undang dan peraturan yang kita perlu ikut, waima di Singapura pun ada undang-undang mereka.
“Jadi sebagai warga asing kena hormati dan ikut peraturan dan undang-undang sedia ada di negara ini, tidak boleh sewenang-wenangnya mempersoalkan tugas dilakukan pegawai, kalau gagal untuk hormat, memang berhak tindakan susulan diambil,” katanya kepada BH hari ini.
Beliau mengulas insiden sepasang suami isteri warga Singapura yang mempersoalkan cara seorang pegawai Imigresen Malaysia mengecop pasport mereka secara berselang muka surat sebelum mendakwa diberikan notis dilarang memasuki negara ini selama enam bulan.
Menurut warga Singapura itu, Abdul Qayyum Rahim, dia dan isterinya dalam perjalanan ke Johor Bahru dan melalui pos pemeriksaan Imigresen di Tuas (Link Kedua) pada 20 Mac lalu.
Katanya, dia dan isteri terperangkap di pusat pemeriksaan selama satu jam kerana hanya terdapat dua kaunter yang dibuka dan apabila tiba giliran di kaunter, pegawai Imigresen menyuruh menanggalkan pelindung pasport dengan nada yang tidak sopan.
Sementara itu Jabatan Imigresen (JIM) akan menyiasat dakwaan pasangan dari Singapura itu yang tidak dibenarkan memasuki Malaysia kerana mempertikai tindakan pegawainya.
Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir, berkata isu itu dalam siasatan pihaknya.
Dalam pada itu, Khairil Niza turut menegur sikap dan tindakan sesetengah pihak termasuk ahli politik yang memilih untuk berkongsi video di media sosial mengenai Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
“Saya ingin ingatkan bahawa kawasan BSI itu adalah kawasan keselamatan tahap satu, jadi segala penggunaan gambar atau video yang dikongsi dan ditular dalam Tik Tok dan Instagram itu perlulah dikawal supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada.
“Contohnya ada sesetengah pihak termasuk orang politik yang mengambil gambar untuk tujuan tertentu, perkara ini sememangnya tidak digalakkan sebab atas prinsip menghormati keluhuran undang-undang,” katanya.
Beliau juga mahu isu berbangkit di BSI tidak hanya ditujukan kepada Imigresen sebaliknya perlu kerjasama agensi lain yang turut beroperasi di bangunan berkenaan.
“Tak boleh letak tanggungjawab atau kesalahan sepenuh kepada Imigresen sebab di BSI itu ada banyak, lebih kurang 30 agensi lain.
“Jadi jangan tuding semua kesalahan kepada Imigresen dan kakitangannya. Kalau semua agensi main peranan masing-masing pastinya tidak timbul masalah atau isu berbangkit,” katanya.-BERITA HARIAN
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news