Nasional

Penternak berdaftar dengan JPV boleh mohon subsidi

PUTRAJAYA: Penternak digesa memaksimumkan kapasiti pengeluaran bekalan ayam dan telur selepas kerajaan bersetuju memberi subsidi dalam usaha mengurangkan beban golongan itu dan menstabilkan bekalan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata kesemua penternak ayam di seluruh negara yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) boleh memohon subsidi khas yang diumum kerajaan semalam.

Menurutnya, mereka boleh berbuat demikian bermula 5 Februari lalu sehingga tamat tempoh inisiatif pada 4 Jun ini.

Katanya, inisiatif itu adalah antara usaha kementerian bagi meringankan beban kewangan ditanggung penternak yang berdepan kos tinggi terutama pembelian makanan dedak ayam.

“MAFI sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan bagi mekanisme penyaluran subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam,” katanya kepada pemberita pada sidang media Dialog Industri Agromakanan 2022 hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri 11 MAFI, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Semalam Ronald mengumumkan pemberian subsidi membabitkan sebanyak 60 sen sekilogram bagi ayam daging dan lima sen bagi setiap biji telur untuk semua jenis gred iaitu A, B dan C bagi membantu penternak kerana kos makanan.

Subsidi itu akan diadakan selama empat bulan sehingga Jun sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM).

Ronald berkata, satu mekanisme menyeluruh telah dibentangkan membabitkan pemantauan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan akan disalurkan menerusi Agrobank.

Katanya, pihaknya memberi jaminan bekalan ayam dan telur di pasaran kekal stabil dan pengguna tidak perlu bimbang terputus bekalan kerana sepanjang tempoh SKHKM harga dikawal dan tiada kenaikan berlaku seperti sebelum ini. -BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *