KUCHING: Sambutan Minggu Perpaduan adalah “signature” program Kementerian Perpaduan Negara yang akan disambut di seluruh negara pada setiap tahun.
Menurut Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, pengisian utama program itu adalah berbentuk kenegaraan, kebudayaan, kesenian dan warisan melalui pelbagai mekanisme.
“Mekanismenya ialah seperti interaksi dan jalinan hubungan sosial secara berterusan pada peringkat “inter” dan “intra” etnik dengan penuh berhemah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2023 di Tebingan Sungai Kuching pada Ahad.
Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah telah berkenan merasmikan majlis sambutan berkenaan yang turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof.
Hadir sama ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian serta tetamu-tetamu kehormat lain.
Aaron menambah, justeru program itu dapat menggalakkan persefahaman, toleransi, hormat-menghormati antara masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.
Beliau memaklumkan, kesemua usaha tersebut akan melibatkan pelbagai pihak termasuk pemimpin, agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.
Dalam pada itu, ujar beliau lagi, usaha ini adalah selari dengan hasrat perdana menteri dan Kerajaan Perpaduan.
“Kementerian Perpaduan Negara mengambil inisiatif menghasilkan Kerangka Membangunkan Malaysia MADANI berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian (Unity in Diversity).
“Di bawah kerangka ini terdapat tiga kluster program iaitu Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Komuniti Rahmah,”jelas beliau lagi.-SN
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/