Nasional

Sarawak tubuh Lembaga penjaga urus Dana Kekayaan Berdaulat – Abang Zohari 

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak akan menubuhkan Lembaga Penjaga bagi menguruskan Dana Kekayaan berdaulat Sarawak secara profesional. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ketika ini kerajaan Sarawak sedang mengenal pasti lapan pakar kewangan dan pelaburan bagi memastikan dana itu dapat diurus sebaik mungkin.

“Kita perlu meneliti aspek personaliti, integriti dan latar belakang profesional itu untuk menggalas tugas dalam lembaga pengarah. Mereka bukan hanya rakyat Sarawak dan bukan sahaja rakyat Malaysia.

“Lembaga ini adalah multinasional dan merangkumi mereka yang berpengalaman dalam pasaran modal serta modal permulaan awal yang pelbagai,” katanya pada acara Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan Malaysia Kelima 2023 di sini, pada Selasa. 

Ujar Abang Zohari lagi, penubuhan dana kekayaan tersebut juga berpandukan Prinsip Santiago bagi memastikannya dapat membantu mengekalkan sistem kewangan global yang stabil selain aliran modal dan pelaburan secara bebas.

Dalam ucaptamanya di Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan Malaysia Kelima 2023 itu, beliau menjelaskan bahawa dana itu akan menggunapakai model pemaksimum modal dan berdasarkan dana kekayaan Norway — Dana Pencen Global Kerajaan Norway yang mempunyai saiz dana US$1.25 trilion (US$1=RM4.56).

Jelasnya, model sama turut digunapakai oleh Perbadanan Dana Kekal Alaska (dengan saiz dana US$70.6 bilion) di Amerika Syarikat (AS) dengan semua negara terbabit mempunyai hasil daripada sumber minyak dan gas seperti Sarawak.

“Saya juga sedar bahawa dana kekayaan berdaulat ini turut menjadi strategi bagi sebahagian besar negara untuk melabur lebihan modal ke dalam pasaran serta pelaburan lain.

“Sehubungan itu, kita perlu membangunkan kekayaan untuk Sarawak apabila simpanan minyak dan gas semakin berkurangan di masa depan,” katanya.

Sarawak menubuhkan dana tersebut dengan peruntukan awal RM8 bilion dalam usaha memperkukuh kemampanan kewangan negeri.

Pada 22 November lepas, Dewan Undangan Negeri Sarawak sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak 2022. – BERNAMA

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022 

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/ 

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/ 

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news 

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/ 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *