Nasional

Sesi persekolahan Januari bermula tahun 2026 – Fadhlina

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk mengembalikan semula sesi baharu persekolahan kepada Januari pada 2026, berbanding bermula Mac yang dilaksanakan sejak tahun lalu susulan pandemik yang melanda.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata untuk itu kerajaan sudah memulakan usaha mengawal kalendar akademik persekolahan bagi sesi 2024/2025 pada Februari 2025.

“Jadi permintaan untuk memulakan sesi persekolahan pada Januari akan ditunaikan pada 2026,” katanya ketika menjawab soalan lisan Aminolhuda Hassan (PH-Seri Gading) di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Sebelum ini, KPM memberi jaminan permulaan takwim sesi persekolahan akan kembali bermula pada Januari, namun memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan.

Susulan itu, Fadhlina berkata, seiring pengumuman itu, beliau berharap semua pihak yang berkaitan dapat melakukan perancangan dan persediaan menyeluruh bagi mendepani perubahan berkenaan.

“KPM berharap dengan pengumuman ini, aspek kewangan dan ekonomi dapat dirancang mulai sekarang oleh semua pihak yang terlibat.

“Secara tidak langsung, perancangan cuti keluarga, kenduri kendara, cuti-cuti cikgu sebagaimana yang telah pun kami umumkan dalam 10 prakarsa sempena hari guru dapat diatur berdasarkan kalendar akademik persekolahan yang akan diwartakan,” katanya.

Ujar beliau lagi, KPM sedang meneliti banyak faktor berkaitan bagi melaksanakan perubahan membabitkan kalendar akademik persekolahan.

“Perubahan semula kalendar akademik persekolahan perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun, selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“KPM turut melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum khususnya tempoh pembelajaran sebanyak 32 hingga 36 minggu yang diperlukan bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan setahun,” ujarnya.

Bagi tujuan itu, katanya, KPM turut melakukan penjajaran kepada jadual peperiksaan awam agar ia selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan.

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022 

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/ 

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/ 

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news 

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/ 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *