Sukan Tempatan

SFABC mahu tarik lebih banyak penglibatan penjawat awam dalam sukan boling

KUCHING: Kelab Boling Agensi Persekutuan Sarawak (SFABC) berhasrat untuk menarik lebih ramai penjawat awam di negeri ini untuk terlibat dalam sukan boling.

Pengerusi SFABC Sidik Rashid berkata, kelab berkenaan membuka peluang kepada semua penjawat awam bukan sahaja untuk mereka yang berminat malah bagi penjawat awam yang mahu mencuba sukan tersebut.

“Salah satu matlamat penubuhan kelab kami ialah mengeratkan silaturrahim yang mana saya lihat permainan boling ini boleh menyatukan pemain di kalangan agensi-agensi kerajaan.

“Sekarang ini kami sedang berusaha untuk mencari ahli-ahli baru supaya lebih ramai kakitangan awam yang bermain sukan boling ini.

“Mungkin selepas ini bila ada pemain-pemain baru kita boleh cuba untuk membuat perancangan dengan pihak Pusat Boling Megalanes Sarawak untuk mengadakan latihan supaya satu hari nanti pemain-pemain ini akan terus menerajui matlamat kita dalam bidang sukan ini pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui dalam Pertandingan Boling Dua Berpasukan Agensi Kerajaan dan Jemputan 2023 di Megalanes Sarawak di sini pada Ahad.

Menurut Sidik, SFABC merupakan kelab yang ditubuhkan pada tahun 2021 berikutan penglibatan penjawat awam kerajaan dalam permainan boling ini mendapat sambutan yang menggalakan.

“Kelab ini kita telah tubuhkan dalam tahun 2021 iaitu dua tahun lepas yang tercetus kerana saya melihat kepada penglibatan kakitangan kerajaan dalam permainan boling ini adalah agak menggalakan.

“Ia ditubuhkan supaya ada ramai lagi di kalangan kakitangan awam di peringkat persekutuan terlibat dalam permainan boling ini,” jelasnya.

Mengenai penganjuran SFABC Double 2023, beliau memaklumkan bahawa ia adalah penganjuran kali kedua perlawanan seperti itu yang mana perlawanan kali pertama diadakan pada hujung tahun 2021.

“Objektif penganjuran pertandingan ini adalah sama dengan objektif penubuhan SFABC iaitu kita menggalakan pemain-pemain boling yang sedia ada untuk membantu kita menarik pemain baru.

“Saya nampak mungkin ada di kalangan pekerja baharu berminat hendak main tetapi tiada kawan dan ada juga yang hendak mula bermain tetapi tidak tahu bagaimana caranya.

“Jadi apabila kita menganjurkan pertandingan seperti ini saya hendak maklumkan dengan pemain boling yang sedia ada ini untuk bantu mencari kawan di pejabat masing-masing sekiranya ada yang berminat untuk mendaftar sebagai ahli,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, salah seorang ahli SFABC, Abdul Muhaimin Fitri dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak yang telah berkecimpung dalam dunia boling itu turut menyeru penjawat awam yang berkhidmat di Sarawak untuk menyertai kelab berkenaan.

“Penglibatan saya dalam bidang sukan boling ini memang sudah lama dan saya telah menyertai kelab ini dua tahun.

“Kelab ini dapat memberi banyak manfaat kepada peminat sukan boling bukan sahaja mengasah bakat-bakat baru malah dapat mengeratkan silaturrahim serta menambah kenalan dari pelbagai agensi kerajaan yang lain,” ujar Muhaimin.

Siti Zubaidah yang merupakan penjawat awam negeri dari Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) juga turut senada dan menyeru penjawat awam yang bekerja di agensi persekutuan dan negeri untuk sentiasa berusaha melibatkan diri dalam sukan boling.

“Saya mula terlibat dalam sukan boling ini secara suka-suka sejak tahun 2013 dan sejak daripada itu saya dapat berkenalan dengan kawan-kawan daripada pelbagai agensi dan latarbelakang pekerjaan.

“Sukan boling ini bukan sahaja baik untuk kesihatan malah ia juga dapat mengisi masa lapang kita.

“Selain itu, dengan mengikuti pertandingan-pertandingan, ia juga amat baik untuk mengeratkan silaturrahim penjawat awam agensi Persekutuan dan Negeri,” katanya lagi.

Sebanyak 25 pasukan telah menyertai pertandingan yang ditaja oleh Sarawak News itu yang terdiri daripada 50 penjawat awam dari pelbagai agensi.

Pertandingan ini menyaksikan pasukan Quantum XX menjadi johan pertandingan, naib johan pula milik pasukan Medix Mix dan tempat ketiga milik pasukan REFA.

Manakala bagi kategori individu terbaik wanita disandang oleh Nurafidza dan kategori individu terbaik lelaki disandang oleh Suit Boji.

Untuk makluman, bagi penjawat awam yang berminat untuk menyertai SFABC atau mempunyai sebarang pertanyaan, anda boleh terus hubungi Pengerusi SFABC Sidik Rashid di talian 013-5113126.-SN

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *