Sukan

SUKMA 2024 dicadang akan diadakan pada 17 hingga 24 Ogos 

KUCHING: Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak diacadang akan diadakan pada 17 hingga 24 Ogos.

Perkara itu telah dimaklumkan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam sidang media di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa. 

Ujar Abdul Karim, berbeza dengan penganjuran sebelum ini, SUKMA 2024 akan diadakan di lapan bahagian di negeri ini antaranya Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri yang akan menganjurkan 32 acara sukan seperti yang dikenal pasti dan dicadangkan. 

“Kita juga telah mengenal pasti sukan dengan kemudahan yang akan digunakan contohnya Stadium Tertutup di Sri Aman untuk tinju. Sebaik sahaja kami mendapat senarai untuk pelbagai sukan, kami akan memaklumkan kepada Kuala Lumpur kerana kami tidak boleh membuat keputusan secara unilateral sahaja.

“Satu jawatankuasa teknikal akan turun membuat pemeriksaan di tempat-tempat tersebut termasuk tempat penginapan bagi memastikan ia mencukupi dan selamat untuk atlet.

“Saya percaya apa sahaja yang kami cadangkan akan diterima oleh jawatankuasa kebangsaan,” katanya.

Misalnya, sukan tinju akan diadakan di Sri Aman, Manakala sukan lain seperti muay thai diadakan di Bintulu, silat di Miri, Sibu untuk sukan badminton dan Kuching sukan memanah. 

Bagi sukan bola sepak, dicadangkan di beberapa bahagian misalnya peringkat awal di Sibu, Mukah dan Bintulu, manakala peringkat separuh akhir dan akhir akan diadakan di Kuching. 

Apabila acara-acara sukan diadakan di pelbagai bahagian, ia bukan sahaja memberi peluang kepada semua rakyat Sarawak menyaksikan sukan itu diadakan, tetapi juga meningkatkan industri pelancongan serta sosioekonomi di setiap bahagian. 

Bagaimanapun, ujar Abdul Karim, masih terdapat banyak tempat dan kemudahan sukan yang perlu dinaik taraf. 

“Abang Jo sudah beritahu saya jangan risau tentang dana kerana dia akan beri dua dana. Satu, untuk menaik taraf kemudahan, satu lagi untuk meningkatkan atlet kita.

“Kami mendapat sokongan yang sangat baik daripada kerajaan negeri dan itulah yang telah memberi inspirasi kepada saya dan semua yang terlibat dalam pasukan penganjur,” ujarnya. 

Selain kerajaan Sarawak, kerajaan Persekutuan turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM40 juta selepas berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022 

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/ 

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/ 

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news 

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/ 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *