Tempatan

UiTM Sarawak mahu terus anjur, perluas program mobiliti antarabangsa

KUCHING: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak memberi komitmen untuk terus mengadakan dan memperluas program mobiliti antarabangsa dengan tujuan menyebarkan manfaatnya kepada lebih banyak pihak.

Rektor UiTM Sarawak Profesor Dato Dr Jamil Hamali percaya bahawa program mobiliti antarabangsa akan terus berkembang dan memberikan impak yang positif.

Katanya, ini dibuktikan melalui program ‘Come Discover Bumi Kenyalang’ 2023 yang julung kali diadakan oleh UiTM Sarawak yang telah menerima respon yang sangat memuaskan daripada peserta yang merupakan pelajar universiti dari Indonesia dan Kemboja.

“Program ‘Come Discover Bumi Kenyalang’ 2023 dijalankan melalui perkampungan secara dalam talian dan fizikal. Respons yang diterima daripada pelajar yang mengambil bahagian dalam program ini sangat memuaskan.

“Mereka memberikan pujian bukan sahaja kepada layanan penginapan dan tempat-tempat yang mereka kunjungi, tetapi juga kepada pengetahuan yang mereka peroleh melalui pengalaman ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika kepada Sarawak News selepas Majlis Makan Malam sempena penutupan program ‘Come Discover Bumi Kenyalang’ 2023 di sini pada Khamis.

Dato Dr Jamil juga berharap program ini yang mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak akan mendapat sokongan berterusan pada masa akan datang.

Beliau dalam pada itu turut berharap ia dapat diperluaskan lagi dalam skala yang lebih besar supaya lebih ramai pelajar dan universiti dari kawasan dan rantau lain dapat memanfaatkannya.

Beliau juga mendedahkan, program ‘Come Discover Bumi Kenyalang’ 2023 diadakan dengan tujuan memberikan pelajar-pelajar UiTM pengalaman yang luas dalam konteks antarabangsa.

“Kita mahu pelajar-pelajar UiTM mendapat pendedahan dengan pengalaman antarabangsa.

“Bukan setakat pergi keluar tapi kita menerima pelajar-pelajar daripada universiti-universiti dari luar megara supaya keterlihatan UiTM serta graduan UiTM itu kukuh. Mereka bukan setakat ‘good on papers’ (cemerlang dari subjek akademik, begitu juga CGPA nya) tapi kita mahu mereka juga mempunyai pengalaman yang baik didalam berinteraksi dengan pelajar antarabangsa dan juga pengalaman-pengalaman lain yang ada kaitan dengan apa yang berlaku di luar sana di masa hadapan,” ujarnya.

Berkongsi mengenai lawatan ke Pontianak, Indonesia pada bulan Februari yang lalu, Dato Dr Jamil memberitahu, kerajaan Indonesia juga memberi galakan kepada penganjuran program mobiliti antarabangsa.

Ujarnya, pada bulan Ogos ini, universiti-universiti di Indonesia akan berkampung di Pontianak dan mereka berharap agar UiTM turut terlibat dalam aktiviti tersebut.

“Di pihak UiTM, program mobiliti ini telah dirancang sejak lama. Universiti ini telah mengajar pelajar mereka di Kedutaan Malaysia di Indonesia, serta di Sydney, Australia, dan mereka berhasrat untuk meningkatkan kerjasama ini.

“Selain mengirimkan pelajar untuk mendapatkan pengalaman mobiliti di luar negara, UiTM Sarawak juga ingin menyambut pelajar-pelajar dari universiti-universiti luar negara seperti Australia, New Zealand, dan negara lain, untuk berkampung dan memanfaatkan fasiliti-fasiliti yang tersedia di Sarawak.

“Sebagai contoh, di UiTM Mukah, terdapat fasiliti makmal yang canggih, dan kita ingin menawarkan fasiliti ini untuk menjalankan kajian pendidikan bekerjasama antara pensyarah dan pelajar. Ini akan memberikan manfaat yang saling menguntungkan bagi kedua belah pihak,” jelas beliau.-SN

 

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *